Tags

, , , , ,


Minggu lepas saya telah menghadiri temuduga untuk dipilih menyertai Skim Tenaga Pensyarah Muda UiTM 2010. Pada mulanya saya tidak begitu berharap kerana pada pandangan saya keupayaan yang ada pada permohonan yang dikemukakan mungkin tidak cukup melayakkan saya untuk dipanggil ke temuduga. Tetapi setelah mendapat panggilan dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM supaya hadir sesi temuduga pada 25 Februari 2010 yang lalu saya menjadi lebih yakin bahawa saya mempunyai sesuatu yang boleh disandarkan. Saya sebenarnya mempunyai satu perkara penting yang lain pada tarikh dan masa yang sama dan setelah berurusan dengan pihak-pihak yang berkenaan saya akhirnya berjaya untuk mendapatkan masa bagi menghadiri kedua-dua perkara penting bagi saya pada 25 Februari yang lalu.

Melalui perbualan telefon dengan pihak FSKM UiTM, saya perlu mempersembahkan mock teaching berkaitan dengan apa-apa topik dari bidang yang saya pilih iaitu Software Engineering dalam sesi temuduga itu nanti. Maksudnya saya perlu mengajar, perlu menyediakan slid persembahan dan sedikit nota. Saya cuba mendapatkan beberapa tip dari pengalaman orang lain melalui internet dan saya dapati sesi mock teaching adalah amat penting kerana dari situ kita akan dinilai tentang keupayaan kita untuk menyampaikan apa yang kita tahu dan keberkesanan kepada pendengar kita. Secara amnya, saya berasa saya tidak mempunya banyak masalah untuk menyampaikan sesuatu tetapi menyampaikan sesuatu topik yang tidaklah  begitu familiar bagi saya, di dalam Bahasa Inggeris  dan dihadapan pensyarah-pensyarah universiti yang sudah berpangkat Dr., Prof. Madya atau Prof., adalah sesuatu kemungkinan yang agak mengganggu saya. Saya harus positif dan yakin sebenarnya namun tidak dinafikan ketidakpastian itu terus-menerus mengganggu saya.

Berbekal buku rujukan Software Engineering – Roger S. Pressman, saya memilih topik yang saya benar-benar faham dan yakin dapat menyampaikannya dengan baik. Saya memilih salah satu sub-topik di bawah Bab Pengurusan Projek Perisian atau Software Project Management iaitu Pengurusan Risiko atau Risk Management. Saya menyediakan lebih kurang 10 slid, mencetak slid-slid berkenaan untuk rujukan dan saya berlatih untuk menyampaikan pengajaran saya. Saya berlatih ketika saya memandu, di cubical pejabat, malah ketika mandi dan malam sebelum temuduga saya berlatih di hadapan cermin di rumah saya. Apa yang saya tekankan ialah penguasaan Bahasa Inggeris dengan membetulkan sebutan, mengkayakan kosa kata dan memastikan struktur ayat saya adalah mudah dan betul. Tidak ketinggalan saya siapkan pakaian dengan memilih kemeja, seluar, tali leher dan kasut yang bersesuaian dari segi warna dan juga gaya yang bertepatan untuk temuduga sebagai seorang pensyarah. Dengan berlatih dan mempersiapkan diri saya, saya berasa lebih yakin dan selebihnya saya berdoa, solat hajat serta bertawakkal kepada Allah.

Pada pagi temuduga saya bangun lebih awal memandangkan saya perlu memandu dari Kajang ke Shah Alam dan saya akan menjadi peserta yang pertama untuk ditemuduga. Ini kerana selesai sahaja temuduga saya perlu bergegas pulang ke Putrajaya untuk satu lagi perkara penting yang perlu saya selesai pada hari tersebut. Tepat jam 8.00 pagi saya telah berada di FSKM UiTM. Kata orang ada kelebihan menjadi orang pertama, biasanya orang pertama dan terakhir akan mudah diingati oleh interviewer, tidak perlu menunggu terlalu lama dalam keadaan gemuruh dan mungkin memenatkan dan saya juga mendapat petak pangkir dengan mudah pada pagi itu. Pendaftaran pukul 8.30 pagi, secara jelas saya dapat melihat ratio calon lelaki dan perempuan ialah 1:5. calon dibahagikan mengikut panel-panel, saya tidak pasti berapa panel pada pagi tersebut, setiap panel akan menemuduga lebih kurang 10 orang calon. Temuduga dijangka bermula pukul 9 pagi.

Lebih kurang pukul 9.10 pagi saya dipanggil untuk sesi temuduga. Sebaik masuk ke bilik temuduga saya memberi salam memandangkan ke dua-dua interviewers saya adalah Muslim. Kedua-duanya adalah perempuan. Bagi saya bilik temuduga yang berbentuk segi 4 tepat itu agak sempit sebenarnya. Ia adalah bilik pensyarah yang diubahsuai menjadi bilik temuduga yang diletakkan meja panjang untuk 2 orang interviewers sejajar dengan panjang bilik tersebut, satu kerusi dihadapan meja yang jaraknya kurang 2 meter, dihujung meja terdapat laptop dan dilengkapi dengan projector, disebelah kanan kerusi mengadap interviews terdapat satu portable whiteboard.

Sebaik sahaja sampai dihadapan kedua-dua interviewer saya memulakan perbualan meminta kebenaran untuk duduk menggunakan Bahasa Inggeris. Setelah saya duduk saya diminta untuk memperkenalkan diri. Apa yang saya beritahu kepada interviewers ialah berkenaan dengan peribadi saya, sejarah akademik dan pengalaman berkerja. Seterusnya interviewers bertanya tentang detail berkenaan dengan pengalaman berkerja saya, pilihan bidang, kesanggupan saya untuk berkhidmat di kampus cawangan dan belajar ke luar negara sekiranya saya diterima. Jika saya tidak sanggup saya tidak akan memohon dan hadir pada sesi temuduga berkenaan. Kemudian saya diminta untuk memulakan sesi mock teaching, saya memulakan penyampaian saya seperti yang dirancang dalam latihan. Semua berjalan dengan baik, sampai ke slid ke-4, interviewers  meminta saya berhenti dan kembali duduk. Namun saya kembali bangun kerana interviewers seterusnya bertanyakan lebih lanjut berkenaan dengan topik yang saya telah sampaikan. Dia memberikan saya marker pen dan saya menggunakan whiteboard untuk menulis butiran penting dalam menjelaskan lebih lanjut pertanyaan tersebut.

Setelah selesai saya kembali duduk, kemudian saya seorang interviewer bertanyakan kepada saya “You graduated from UKM, can you speak Malay very well?”. Pada mulanya saya agak terkejut dan hampir terdiam dengan soalan itu, tetapi lantas saya menjawab. Ya, tentunya saya boleh bercakap dalam Bahasa Melayu dengan baik, tapi masih dalam Bahasa Inggeris. Saya sebenarnya tidak merasakan saya boleh berbahasa Inggeris dengan baik, saya mempunyai sejarah yang tidak memberangsangkan berkenaan dengan penggunaan Bahasa Inggeris. Rakan-rakan saya mempunyai pendedahan seawal sekolah rendah dan mempunyai penguasaan yang cukup baik ketika di sekolah menengah tetapi saya hanya bermula menguasai Bahasa Inggeris ketika berada di IPT pada umur 24 tahun. Saya amat jauh terkebelakang dan saya masih di belakang mereka, tetapi saya percaya telah banyak peningkatan yang telah saya capai dan compliment seperti itu adalah bukan yang pertama pernah saya dengar. Kemudiannya saya mula menjawab soalan-soalan sampingan dengan menggunakan Bahasa Melayu dan diselang-seli dengan menggunakan Bahasa Inggeris.  Pada pertanyaan berkenaan dengan apakah keistimewaan saya untuk dipilih sebagai pensyarah di UiTM, saya menjawab dengan dengan memberitahu saya berbeza dengan kebanyakkan calon-calon lain, semua yang hadir adalah pelajar-pelajar cemerlang tapi tidak ramai yang hadir adalah pelajar yang pernah gagal dan muncul sebagai pelajar cemerlang. Saya pernah gagal dalam belajar dan saya bangkit dari kegagalan dengan seribu pengajaran bagaimana untuk tidak gagal dan berjaya sebagai pelajar cemerlang. Saya tidak akan ke kelas hanya untuk mengajar 2+1=3 tetapi sebagai motivator  kepada pelajar saya untuk berjaya. Saya tidak hanya sekadar pensyarah tetapi juga inspirasi kepada pelajar-pelajar saya untuk berjaya. Saya amat cintakan ilmu saya dengan mengajar dan terlibat dalam penyelidikan saya akan terus dapat mempertajamkan ilmu saya dan terus belajar sesuatu yang baru. Saya ingin menjadi perintis kepada sesuatu yang baru dan berguna kepada manusia.

Setelah itu sesi temuduga saya berakhir dan penemuduga mengucapkan selamat maju jaya dan saya meninggalkan mereka berdua dengan salam.

About these ads