The Lovely Bones

Menonton filem adalah antara kegemaran saya begitu juga dengan isteri dan anak perempuan saya. Walaupun genre filem pilihan kami berbeza tetapi masih mampu untuk dikongsikan bersama. Saya gembira menonton ‘Monsters vs Aliens’ bersama anak perempuan saya yang baru 5 tahun dan isteri saya berkongsi filem pilihan seperti ‘True Lies’ dan saya juga menonton  ‘Devil Wears Prada‘ beberapa kali.

Malam tadi kami sepatutnya menonton ‘Up In The Air’ ,  tetapi rupanya cover sahaja yang tertera ‘Up In The Air‘, CD di dalamnya tertera ‘The Lovely Bones‘. Saya hampir menukar ke filem lain memandangkan saya belum pernah mendengar apa-apa review tentang filem ini melainkan melihat nama Peter Jackson sebagai Pengarahnya tertera di CD.  Walaubagaimana pun itu masih belum mampu untuk meyakinkan saya filem ini adalah bagus untuk ditonton. Ketika saya ingin menukar ke filem lain isteri saya memberitahu saya dia pernah mendengar tentang filem ini. Kemudiannya dia berikan kepada saya novel ‘The Lovely Bones by Alice Sebold (2002)’ yang dibelinya ketika berasa di UK sekitar tahun 2008 yang lalu. Dari sinopsis novel berkenaan saya mula dapat mengagak kenapa Peter Jackson bersetuju untuk mengarah filem ini.

Setelah menonton hampir 2 jam lebih, saya merasakan saya telah menonton sebuah filem yang betul. Naratif cerita yang amat menarik dan telah digarap dengan begitu baik oleh pengarah yang hebat disertai oleh barisan pelakon yang seperti Mark Walhberg, Rachel Weisz, Stanley Tucci dan pelakon remaja berbakat Saoirse Ronan menjadikan filem ini tersenarai di dalam ‘Must See’ filem saya. Filem ini juga telah dicalonkan di Academy Award, Golden Globe dan memenangi beberapa anugerah di festival-festival filem yang telah diadakan dibeberapa tempat sepanjang tahun 2009 dan 2010. Sila rujuk.

Plot filem ini amat mudah untuk dihayati tetapi mungkin untuk mengilhamkannya tidak semudah untuk menghayatinya. Itu sebab bukan semua orang boleh buat filem, hanya mereka yang berbakat sahaja mampu menghasilkannya dengan baik. Bakat adalah sesuatu yang semulajadi, ia tidak boleh dicipta dan hanya boleh dilatih. Plot yang mudah tetapi penceritaannya amat berkualiti. Sudah menjadi kebiasaan filem yang dihasilkan berdasarkan penulisan novel akan dipenuhi dengan drama yang akan menarik penonton menelusi ceritanya dengan mendalam jika ia dapat digarapkan dengan baik oleh pengarahnya. Cerita yang mudah akan menjadi sesuatu yang tidak bersahaja untuk dihayati. Perlukan penghayatan dan berfikir. Cerita yang merangsang kita untuk berfikir amat bagus untuk ditonton.

Saya tidak bercadang untuk menceritakan di sini sinopsis ‘The Lovely Bones‘ memandangkan ia boleh diperolehi dengan mudah di mana-mana halaman web tetapi secara ringkasnya ia berkenaan dengan seorang remaja 14 tahun yang dibunuh kejam dan kembali menceritakan tentang kematiannya termasuklah tentang keluarga dan juga pembunuhnya.